Pages

Saturday, January 27, 2018

Wajah Anak-Anak Derita (Semanis Lollipop Yang Kau Beri)


Wajah Anak-Anak Derita
(Semanis Lollipop Yang Kau Beri)

Dua lollipop itu,
Kuberikan kepadamu,

Agar manis rasanya,
Dapat kau melupa derita.
Dan,
Bibir keringmu,
Kembali membasah,
Menguntum senyum.

Namun,
Hatimu terlalu mulia,
Kau berikan satu kepadaku,
Kerna,
Kau ingin berkongsi,
Rasa gembira yang sama.
Dalam erti kesederhanaan,
Kau ajari aku menginsafi diri,
Serta rendahnya hati,
Mengenal hidup yang serba sedikit.

Walau dihujung lensa,
Tetap jelas bagiku,
Kau dan aku tiada berbeda,
Kita menghirup udara yang sama.

Dan,
Persahabatan kita kian terpateri,
Semanis lollipop yang kau beri.


"Jadikan dunia ini yang terbaik untuk anak-anak derita.Ciptakan momen yang terindah buat mereka."
Am Nass Novelis,
28.1.2017



Sakura Hanami (Cinta Musim Semi) Buat Kyoko Sakura... Versi Koto


Sakura Hanami
(Cinta Musim Semi)
Buat Kyoko Sakura…
(Versi koto)




Gadis berkimono bersimpuh tertib,
Jemari halusnya membancuh teh hijau,
Gunung Fuji memutih,
Sakura ditiup angin,
Berguguran jatuh,
Ke dalam cawan kecil berisi sake.


Seorang anak kecil,

Berlari riang dan tertawa,
Di rumput menghijau ditemani ayahnya,
Seorang gadis menulis diari,
Dipayungi pohon meredup.

Aku masih ingat lagi,
Saat terindah itu,
Ketika aku duduk di hamparan tikar,
Kau dengan kimono putih berbunga,
Cuba mengusik dengan menarik rambutku,
Kipas di tanganmu terlepas,
Dan kemudian kau berlari-lari,
Menyembunyikan dirimu,
Di sebalik pohon sakura yang mekar,
Hatiku teruntun,
Dengan senyuman paling manis,
Yang kau lemparkan lewat angin.

Sayonara kasihku,
Kau membisik lembut di kupingku,
Pada suatu petang itu,
Adakah ia suatu ucapan selamat tinggal?
Dan kau dalam genang mata berkaca,
Mengangguk perlahan dan tertunduk,
Aku cuba menyeka mutiara,
Yang gugur di kelopak,
Akhirnya aku tahu,
Waktunya sudah tiba,
Untuk kau pergi meninggalkanku.

Sakura Hanami,
Cinta musim semi,
Segalanya tinggal memori,
Namun aku tetap menunggu,
Sakura kembali berbunga,
Kerana kau,
Kyoko Sakura,
Akan kembali, bukan?
Dan aku tetap berharap,
Kita akan kembali menghias laman,
Yang telah lama kita tinggalkan.

Am Nass. 17.1.2018.

Hakcipta Terpelihara ©

Sunday, December 31, 2017

Kristina (Untuk Mencintaimu) Fragmen 1-10

Kristina (Untuk Mencintaimu)

Buat peminat cerita Kristina,

terimalah Untuk Mencintaimu...

Untuk Mencintaimu

Apa yang harus aku lakukan
Untuk membuat kau mencintaiku
Segala upaya telah kulakukan untukmu
Apa yang harus aku temukan
Untuk membuat kau menyayangiku
Inilah aku yang memilih kau untukku

Kerna aku mencintaimu
Dan hatiku hanya untukmu
Tak akan menyerah 
Dan takkan berhenti mencintaimu

Ku berjuang dalam hidupku
Untuk selalu memilikimu
Seumur hidupku, setulus hatiku
Hanya untukmu

Kerna aku mencintaimu
Dan hatiku hanya untukmu
Tak akan menyerah 
Dan takkan berhenti mencintaimu

Seumur hidupku, setulus hatiku

Sudah lama Kristina tidak menemui pembaca.Terimalah Kristina...
Kristina.Fragmen 1-10.Selamat membaca. 
Kristina... (Fragmen1)
Kristina. Cerita ini mengisahkan tentang seorang gadis bernama Kristina yang berusia 17 tahun. Kristina merupakan seorang pelajar yang baru berpindah sekolah. Semasa diperkenalkan oleh Cikgu Stephen, Kristina berharap agar kehadirannya diterima oleh rakan sekelas. Seorang pelajar bertanya akan hobi Kristina. Kristina memberitahu bahawa dia amat meminati bidang fotografi. Baginya, gambar adalah kehidupan yang tersuling dan terpelihara selamanya. Wajah yang ekspresif, masa yang sekejap dalam alam, bentuk yang abstrak, semua ini adalah asas-asas fotografi. Sebuah gambar menyampaikan sesuatu yang tidak boleh dijelaskan melalui kata-kata, rasa misteri dan keindahan hidup, sifat dan pencapaian manusia. Kata-kata Kristina membuatkan pelajar itu terdiam. Cikgu Stephen memandang Kristina, menepuk tangannya kemudian disertai oleh semua pelajar. Mereka kagum dengan kata-kata Kristina. Kehadiran Kristina di sekolah itu telah menarik perhatian semua orang, tidak lupa juga seorang pelajar bernama Mike. Dia ialah pelajar dari kelas sebelah. Tanpa pengetahuan Kristina, Mike sering memerhatinya dari jauh. Namun, apabila terserempak Mike segera menunduk dan mengalihkan pandangannya daripada Kristina. Kristina menyertai Kelab Fotografi di sekolahnya. Suatu hari, Kristina telah masuk ke kelas sebelah untuk mengedarkan risalah pertandingan fotografi.Kehadiran Kristina tidak disedari oleh Mike kerana waktu itu Mike sedang leka melukis. Sampai di meja Mike, Kristina ingin menyerahkan risalah. Sesaat, dia tertarik dengan apa yang Mike lakukan. Kristina memerhatikan Mike. Mike menyedari sesuatu sehinggakan dia mendongakkan kepala. Mike amat terkejut dengan kehadiran Kristina.Dia hilang imbangan dan terjatuh dari kerusi. Perlakuan Mike membuatkan Kristina tidak dapat menahan ketawanya. Mike berasa amat malu dengan kejadian itu. Dia segera bangun, dan lari keluar dari kelas. Tindakan Mike mengejutkan Kristina. Dan, Kristina bertambah terkejut melihat apa yang dilukis oleh Mike. Apakah yang dilukis oleh Mike sehingga membuatkan Kristina terkejut? Adakah Mike mampu melupakan kejadian yang memalukan itu? Dan bagaimana hubungan keduanya nanti? Semuanya dalam Kristina.

Kristina... (Fragmen 2)
Mike segera bangun dan lari keluar dari kelas. Dia tidak menyangka gadis yang berdiri dan memerhatikannya tadi ialah Kristina. Ya, Kristina Diamond. Gadis yang selama ini diperhatikannya dari jauh dan diminatinya dalam diam. Dia berasa amat terkejut, tidak dapat mengimbang dan terjatuh dari kerusi. Dia berasa amat malu dengan kejadian itu. Dan lebih memalukan lagi Kristina mentertawakannya. Mike berlari menuju ke arah sepohon pokok rendang di padang. Dia mendudukkan diri di atas rumput. Cuba sedayanya untuk menenangkan diri dan rasa gelabahnya. Kristina mentertawakannya. Jahatkah Kristina? Siapa pun pasti tertawa, fikir Mike. Mike mengusap rambutnya. Mike terfikir, kenapa agaknya Kristina datang ke kelasnya tadi? Apa yang Kristina buat di situ? Kenapa Kristina datang ke arahnya? Sudah lamakah dia diperhatikan? Segalanya berlegar dalam kepala Mike. Mike menggaru kepalanya yang tidak gatal. Tiba-tiba Mike teringat apa yang dilakukannya tadi sehingga tidak menyedari kehadiran Kristina. Dia memegang sebatang pensel dan sedang melukis. Melukis? Ya, melukis. Dan lukisan itu masih terletak di atas meja. Di atas meja? Oh, tidak! 
Kristina terkejut dengan perlakuan Mike. Mike yang terjatuh dari kerusi segera bangun dan lari keluar dari kelas. Kristina tidak dapat menahan ketawa melihat Mike. Adakah Mike lari keluar dari kelas kerana dia malu ditertawakan? Kristina tiba-tiba dirundung rasa bersalah. Rasa bersalah kerana mentertawakan Mike. Tapi, Kristina tidak sengaja. Bukan niatnya untuk sengaja ketawa dan memalukan Mike. Dia betul-betul tidak dapat menahan ketawanya. Dan Kristina tidak sempat berkata apa-apa apatah lagi memberikan penjelasan. Niatnya masuk ke kelas sebelah hanya untuk memberi risalah pertandingan fotografi. Cuma, dia tertarik dengan apa yang dilakukan oleh Mike yang membuatkannya memerhatikan lelaki itu. Sesaat matanya tertumpu ke arah lukisan di atas meja Mike. Oh, ini yang dilakukan oleh lelaki tadi. Dia sedang melukis, fikir Kristina. Kristina memegang lukisan itu. Diperhatikannya dengan teliti. Tiba-tiba muka Kristina merona merah. Dia tidak menyangka bahawa Mike melukis dirinya. Dirinya yang sedang... 
Bersambung di Fragmen 3

Kristina... (Fragmen 3) 
Kristina memegang lukisan itu. Diperhatikannya dengan teliti. Tiba-tiba muka Kristina merona merah. Dia tidak menyangka bahawa Mike melukis dirinya. Dirinya yang sedang duduk, dirinya yang sedang berdiri, dirinya yang sedang berjalan. Dan dirinya yang sedang mengambil gambar, iaitu yang paling besar sekali terletak di tengah-tengah. Apa yang lebih mengejutkan Kristina ialah lukisan itu sungguh ekspresif. Emosi Kristina tergambar sepenuhnya pada wajah yang dilukis. Kristina tidak menyangka Mike dapat melukis dirinya sampai begitu sekali. Perasaan Kristina sewaktu mengambil gambar juga dinyatakan oleh Mike dengan tepat. Kristina juga tidak menyangka selama ini dia diperhatikan oleh Mike. dan Mike menjadikannya subjek dalam lukisan. Kristina tidak tahu sama ada dia rasa takut atau gembira ketika itu. Takut, kerana dia selama ini diperhatikan. Gembira, kerana ada orang yang meminatinya dalam diam. Agak lama Kristina memegang lukisan itu. Seperti dia tidak mahu melepaskannya. Akhirnya dengan cermat, dia kemudiannya meletakkan lukisan itu di atas meja semula. Kristina terpandang pensel yang digunakan oleh Mike untuk melukis. Tiba-tiba, Kristina terfikir sesuatu. Dia kemudiannya mengambil pensel itu dan melukis tanda  berserta sepotong ayat berbunyi “ hatiku bersimfoni...” di ruangan tepi sebelah kanan bawah lukisan itu.
Mike berlari menuju ke kelas semula. Dia ingin mendapatkan lukisan itu. Sampai di kelas, Mike terlihat Kristina yang sedang menulis sesuatu pada lukisan itu. Kristina tersedar ada seseorang datang secara tergesa-gesa berdasarkan bunyi tapak kaki. Kristina segera berpaling. Kristina terlihat Mike. Bibir Kristina menguntum senyum. Mike kemudiannya tertunduk. Habislah...
Bersambung Fragmen 4

Kristina... (Fragmen 4)
Kristina dan Mike saling berpandangan. Bibir Kristina menguntum senyum. Mike kemudiannya tertunduk. Habislah...fikir Mike dalam hatinya. Habis, kerana semua rahsianya sudah diketahui oleh Kristina. Kerana selama ini dia memerhati Kristina dari jauh dan menjadikan Kristina subjek dalam lukisannya. Kristina meletakkan semula pensel di atas meja. Sekali lagi dia memerhatikan lukisan itu. Dan matanya terarah kepada sepotong ayat yang baru ditulisnya tadi. “ Hatiku bersimfoni...”, ayat itu ditulis oleh Kristina kerana dia merasakan hatinya cukup gembira saat itu. Hatinya damai berlagu seperti diiringi oleh kicauan burung dan orkestra. Takut? Kristina seperti tidak ada perasaan itu lagi. Sebaliknya dia pula ingin mengetahui lebih lanjut tentang diri Mike. Perlahan, Kristina berjalan ke arah Mike. Mike merasakan Kristina semakin menghampirinya. Mike masih menunduk. Dia takut untuk mengangkat kepalanya. “Hei, kamu!” kata Kristina. Perlahan Mike mengangkat mukanya. TIba-tiba Kristina menghayunkan penumbuk ke muka Mike. Tetapi tidak singgah. Sengaja Kristina buat begitu untuk melihat reaksi Mike. Kristina kemudiannya tertawa. Menampakkan baris giginya yang cantik. Mike tersentak dengan perlakuan Kristina. Kali ini giliran Mike pula yang tersipu malu. Muka Mike pula yang merona merah.Tidak lama, datang seorang pelajar perempuan ke arah mereka berdua. Pelajar perempuan itu segera mendapatkan Kristina. Dia melihat Mike sesaat. Dia sedikit hairan. Apa yang Kristina buat bersama lelaki ini? Apa yang mereka bualkan? “ Kristina, apa yang kau buat di sini?” tanya pelajar perempuan itu. Kristina terdiam seketika. Dia cuba mencari jawapan yang sesuai. “Tidak, aku beri risalah pertandingan fotografi tadi,” sahut Kristina. “Oh, begitu. Eh, Kristina! Cikgu Stephen cari kau,” beritahu pelajar perempuan itu. “ Cikgu Stephen cari aku?” Kristina kehairanan. “ Ya, cepatlah! Dia dah tunggu di bilik guru,” pelajar perempuan itu menarik tangan Kristina. “ Ya, sabarlah Isabel,” balas Kristina lagi. Kristina memandang Mike sekilas. Dia mengenyitkan mata dan tersenyum lagi. Isabel tidak melihat perlakuan Kristina. Mike semakin tersipu. Tidak sangka Kristina seberani itu mengusiknya. Tidakkah dia berasa takut? Takut kerana Mike melukis dirinya? Mike kehairanan melihat perlakuan Kristina. Kalau gadis lain sudah tentu dikoyak-koyakkan lukisan itu dan dia akan dimarahi serta dimalukan di hadapan pelajar lain. Mike masih tercegat di pintu kelas.
Tiba-tiba Mike teringat semula apa yang dilakukan oleh Kristina tadi. Kristina tadi sedang menulis sesuatu pada kertas lukisannya. Mike segera mendapatkan kertas lukisannya. Dia ingin membaca apa yang Kristina telah tulis Dan di ruangan tepi sebelah kanan bawah lukisan itu Mike terbaca, “hatiku bersimfoni...”. Hati Mike teruntun membaca sepotong ayat itu. Dia tidak menyangka Kristina akan menulis ayat itu pada lukisan yang dilukisnya. Dan kini, di kepala Mike mengandung banyak persoalan. Apakah yang dirasai oleh Kristina sebenarnya? Adakah gadis itu mula menyukainya atau sepotong ayat yang ditulis itu hanyalah satu usikan nakal Kristina? Mike mengusap kepalanya. Kristina, gadis ini meruntun hatiku...
Bersambung di Fragmen 5

Kristina... (Fragmen 5)
Kristina dan Isabel berjalan beriringan ke bilik guru. Saat tiba di pintu, mereka mengetuk perlahan. Kelihatan Cikgu Amber berdiri tidak jauh dari situ. Cikgu Amber perasan kehadiran mereka berdua. “Ya, Kristina, Isabel? Apa halnya ni?” tanya Cikgu Amber. Kristina dan Isabel terdiam seketika. Sesaat, mereka berdua melihat wajah Cikgu Amber. Cikgu Amber amat lain sekali. “Cikgu...” kata Isabel sambil memegang rambutnya. Cikgu Amber cuba menangkap kata-kata Isabel. Akhirnya, dia faham. “Oh, ini. Cikgu potong hari tu. Terfikir untuk luruskan. Jadi, cikgu luruskan,” kata Cikgu Amber. “Cantik, cikgu!” kata Kristina dan Isabel. “ Eh, Cikgu Stephen perasan tak? Hehe,” Usik Isabel. Cikgu Amber tersenyum malu. Dia mengusap rambutnya. Wajahnya mula merona merah kerana diusik oleh Isabel. Kristina memerhati sekitar. Di satu sudut dia melihat seorang guru lelaki sedang sibuk menulis sesuatu. “Cikgu Stephen yang panggil kami ke sini. Dia nak jumpa Kristina,” kata Isabel. “Oh begitu. Pergilah jumpa dia,” kata Cikgu Amber. “Cikgu ada pesan apa-apa tak? Nak kami kirim salam ke?” kata Isabel. “Tak ada. Eh, jangan,” Cikgu Amber diselubungi rasa malu dan takut. “Tak adalah cikgu, gurau saja. Baiklah cikgu, kami pergi dulu,” kata Isabel. “Ya,” jawab Cikgu Amber. “Huh...” Cikgu Amber mengeluh perlahan. Dia memerhatikan Kristina dan Isabel menuju ke arah Cikgu Stephen. Cikgu Stephen berhenti menulis dan berbual dengan Kristina dan Isabel. Sedetik, Cikgu Amber memerhati Cikgu Stephen. Guru muda itu cukup baik dengan pelajarnya. Lebih-lebih lagi dengan Kristina dan Isabel. Agak lama juga dia memerhatikan Cikgu Stephen, sehinggakan lelaki itu mula tersedar dan menoleh ke arahnya. Mata keduanya bertentangan. Cikgu Amber cepat-cepat mengalihkan pandangannya. Cikgu Stephen tersenyum. Kristina dan Isabel terperasan. Tak lama, mereka berdua tersenyum dan ketawa. Cikgu Amber berasa semakin malu. Tak lama, Cikgu Amber meninggalkan bilik guru. Perlakuannya menyebabkan Kristina dan Isabel berhenti ketawa. Kristina dan Isabel dirundung rasa bersalah. “Apa kita dah buat ni?” kata Isabel. “Cikgu, kami nak pergi minta maaf.” Isabel menarik tangan Kristina tetapi dihalang oleh Cikgu Stephen. “Isabel, Kristina,” Cikgu Stephen menggelengkan kepala. “Kita teruskan perbualan. Lagipun banyak yang saya hendak beritahu Kristina.” Kristina dan Isabel terdiam. Mereka melihat wajah Cikgu Stephen yang cuba untuk menenangkan diri. “Maafkan kami cikgu,” kata Isabel. “Tak apa,” jawab Cikgu Stephen.
Bersambung Fragmen 6.

Kristina...(Fragmen 6)
Petang itu redup. Angin berhembus lembut. Dedaun berguguran ditiup angin. Stephen berjalan perlahan. Setibanya di kuburan, dia meletakkan setangkai bunga Lily di pusara. Amanda Dong, 1986-2007. Gadis yang ceria dan suka berjenaka. Terkadang manja. Apabila ketawa, lesung pipit di pipinya akan kelihatan. Dan, ini akan menyerikan wajahnya. Stephen membuang ranting dan daun yang gugur di atas pusara Amanda. “ Stephen, terima kasih kerana sudi hadir dalam hidup saya. Saya amat menghargainya. Saya pergi tidak lama. Tunggu saya, ya!” Itulah kata-kata terakhir Amanda sebelum gadis itu pergi buat selamanya. Dan, saat itu Stephen tidak menyangka nahas pesawat itu telah menghancurkan impiannya untuk hidup bersama dengan Amanda. Stephen masih ingat lagi, sehari sebelum Amanda pergi dia sempat menyanyikan sebuah lagu yang diciptakannya khas buat Amanda, “Fly To You”. “Amanda, lagu ini saya ciptakan khas buat awak. Sedang awak jauh, dan teringatkan saya, awak panggillah nama saya. Tatkala itu juga saya akan pergi menemui awak,” Stephen teringat semula kata-katanya kepada Amanda. Sejak pemergian Amanda,Stephen tidak lagi menyentuh gitarnya. Dia sering mengunjungi pusara Amanda. Meletakkan bunga dan bersembahyang di pusara. Perlakuannya membimbangkan ibu dan bapanya. Mereka menasihati Stephen. Lama-kelamaan, Stephen beransur pulih. Dia mampu menerima kehilangan Amanda. Dia kembali memetik gitar, setelah sekian lama tidak bermain. Namun, dia tetap mencintai Amanda dan belum bersedia menerima mana-mana gadis lain untuk mengisi ruang hatinya yang sudah kosong. Dia teringat akan kata-kata ayah Amanda. “Stephen, pakcik lihat awak selalu juga pergi melawat pusara Amanda. Terima kasih Stephen,kerana masih ingat akan anak pakcik. Cuma, pakcik harap awak juga fikir akan kebahagiaan diri sendiri. Seberat-berat hati Stephen untuk melepaskan Amanda, berat lagi hati pakcik. Amanda sudah bahagia di sana. Lepaskanlah dia, Stephen.” kata ayah Amanda sambil memegang bahunya. Stephen hanya berdiam diri. Dia tidak menjawab kata-kata ayah Amanda. Sehelai daun kering menimpa rambut Stephen. Dia tersedar dari lamunannya. Sesaat, dia teringat kepada seseorang. Seseorang yang cuba menghadirkan diri dalam ruang hatinya. “ Amber, maafkan aku...” kata Stephen sendirian sambil menunduk perlahan.
Bersambung di Fragmen 7.

Kristina... Fragmen 7
Ramai orang di perpustakaan hari itu. Kebanyakannya adalah pelajar. Biasalah, minggu ini minggu ulangkaji. Peperiksaan pertengahan tahun akan bermula minggu depan. Para pelajar mengambil kesempatan ini untuk pergi ke perpustakaan. Belajar dan membuat perbincangan secara berkumpulan. Di samping itu, mereka juga mencari buku rujukan yang bersesuaian dengan topik. Di luar perpustakaan, kelihatan seorang lelaki sedang duduk di tangga. Dia membaca sebuah buku. Matanya menyorot setiap catatan yang terdapat dalam buku itu. Sedang dia leka membaca, datang seorang gadis dari arah belakangnya. Gadis itu menepuk bahunya. “Ha, buat apa kat sini? Kenapa tak masuk dalam?” tanya gadis itu. Lelaki itu sedikit tersentak dengan tepukan itu. Dia menoleh ke belakang. “ Oh, kau Erina. Dalam banyak sangat orang. Kat luar ni seronok sikit. Rasa lebih tenang,” kata lelaki itu. “Alah, banyak kau punya alasan. Kau tak nak kat dalam sebab ada dia, kan?” Erina cuba mengusik lelaki itu. “Tak adalah,” jawab lelaki itu ringkas. Dia agak sedikit terganggu dengan pertanyaan itu. “Am, kau baca buku apa tu?” Buku yang dipegang oleh Am menarik perhatian Erina. Am menutup buku itu lalu memberikannya kepada Erina. Erina membaca tajuk buku itu. “Panduan menulis novel? Kau nak menulis novel ke, Am?” tanya Erina. Am tersenyum lalu mengangguk perlahan. “Wah, hebat! Daripada sajak beralih ke novel pulak,” kata Erina. “Aku nak cuba sesuatu yang baru. Bagi aku, novel itu sama juga seperti sajak. Ia adalah cerminan masyarakat,” jawab Am. “Betul, tu. Tak salah mencuba sesuatu yang baru. Am, novel pun novel jugak. Kau dah belajar ke? Minggu depan kita nak ujian,” tanya Erina. Erina memandang Am. Am mengatur cermin matanya. “Sudah,” kata Am. “Eh, Am! Marilah masuk dalam. Jangan seorang-seorang kat sini. Tak baik, nanti orang culik!” ajak Erina. “Tak apalah. Aku lebih suka kat sini. Err...Erina, buku aku,” kata Am sambil meminta bukunya kembali. “Kau nak buku ni, kau ikut aku masuk ke dalam. Marilah!” pujuk Erina lagi.
“Yalah, yalah,” kata Am. Akhirnya Am mengalah. Erina dan Am berjalan masuk ke dalam perpustakaan. Pintu perpustakaan dibuka. Erina memandang sekitar. Matanya melilau mencari seseorang. Di satu sudut seorang gadis sedang menulis. Sesaat, gadis itu berhenti menulis. Tangannya mula mengatur rambut. Erina tersenyum lebar. Erina memandang Am. “Jom, Am! Kita jumpa dia,” kata Erina. Dia menarik tangan Am. “Erina, aku..” perasaan malu tiba-tiba hadir dalam diri Am. Dia berasa serba salah. Erina terus menarik tangan Am, dan mereka berjalan menuju ke arah gadis itu.
Bersambung Fragmen 8. 

Kristina... Fragmen 8
Gadis itu mengatur rambutnya. Tak lama, dia merasakan ada derap tapak kaki menuju ke arahnya. Agak laju dan buru-buru. Gadis itu mendongakkan kepala. Dia terpandang Erina dan Am. Kelihatan, Erina memegang tangan Am. Tersedar, Erina melepaskan pegangan. Erina memandang wajah gadis itu. “Jasmine, ni aku bawa Am. Dia kata nak jumpa kau,” kata Erina. Erina memandang wajah Am. Dia mencubit lengan lelaki itu. Am terpinga-pinga dengan kata-kata Erina. “Err..tak...” belum sempat Am menghabiskan kata-katanya, sekali lagi Erina menyentuhnya. Kali ini ditepuk di belakang pula. Agak kuat sehingga Am hampir tertolak ke arah Jasmine. Tepukan yang kuat itu menarik perhatian orang di sekitar. Mereka berpaling ke arah Erina, Am dan Jasmine. Erina tersedar dengan perlakuannya. Dia segera menunduk dan meminta maaf. Erina memandang wajah Jasmine. Dia tersengih. Am semakin kurang selesa. Dia seperti ingin pergi dari situ. Tetapi, belum sempat dia berbuat demikian, kakinya telah dipijak oleh Erina. “Oh, Tuhan,”bisik Am sendirian. Bisikan Am itu menarik perhatian Jasmine. Dia memandang wajah lelaki itu. Jasmine tersenyum. “Duduklah,” pelawa Jasmine lembut. “Am, duduklah. Orang dah pelawa tu!” kata Erina kepada Am. Erina menyuruh Am duduk dekat dengan Jasmine. Dengan perlahan, Am duduk di kerusi. Am menyangka Erina akan duduk bersama dengan mereka. Namun, jangkaan Am meleset. Sebaliknya, Erina cepat-cepat beredar dari situ. Am menjadi kaku seketika. Sebelum pergi, Erina sempat melambai ke arah Am dan Jasmine. Erina membuat isyarat semoga berjaya kepada Am. Jasmine tersenyum lagi. Dia akhirnya ketawa kecil kerana tidak tahan melihat telatah Erina. Am memberanikan diri memandang wajah Jasmine. Jasmine, dengan rambut separas bahu. Wajah yang putih dan dagu yang belah. Sungguh cantik! Kata Am di dalam hati. Am rasa terpukau melihat kecantikan Jasmine. Tak lama, Jasmine memalingkan mukanya. Dia memandang wajah Am. Sesaat, mereka berbalas renungan. Jasmine tersenyum. Am tersipu malu. “Kenapa awak nak jumpa saya?” tanya Jasmine. Am rasa serba salah. Dia tidak tahu apa yang ingin diberitahu. Semua ini kerja Erina. “Huh...” Am mengeluh perlahan. Jasmine terdengar keluhan Am. “Erin usik awak, ya?” tanya Jasmine. Dia seperti tahu bahawa Erina yang merencanakan segalanya. Am terdiam. Dia cuba mencari jawapan yang sesuai. “Err...sebenarnya saya, sebenarnya saya nak belajar menulis daripada awak. Ya, belajar menulis,” akhirnya jawapan itu keluar dari mulut Am. Jasmine tersentak. Jasmine terdiam seketika.“Boleh, tapi saya nak awak hasilkan sebuah sajak untuk saya,”kata Jasmine. Sajak? Seakan teruja, Am mengangguk dan tersenyum. Dan, Jasmine membalas senyuman itu...
Bersambung Fragmen 9.

Kristina... Fragmen 9
1...2...3...4...5...6...7...8...9...10...
1...2...3...4...5...6...7...8...9...10...
1...2...3...4...5...6...7...8...9...10...
“Huh...Huh...Huh...” Perlakuannya tiba-tiba terhenti. Dia menghentikan kiraan. Dia terduduk. Peluh menitik jatuh dari muka. Disapunya perlahan. Dia menundukkan kepalanya. Memandang lantai simen. Dia cuba untuk membuang kepenatan. Lama juga dia memandang lantai simen itu. Tak lama, kedengaran bunyi tapak kaki. Bunyinya semakin kuat dan menghampiri. Tertarik dengan bunyi itu, dia mendongakkan kepalanya. Dia terpandang satu susuk tubuh atletik di hadapannya. Lelaki itu tersenyum memandangnya. “Letih ke?” tanya lelaki itu. Dia hanya mengangguk perlahan. “Simon, ajar aku cara menumbuk.” Tiba-tiba dia bersuara. Menyatakan hasratnya kepada lelaki itu. Spontan, Simon menghayunkan kedua belah tangannya dan melakukan aksi menumbuk. “ Ajar kau cara menumbuk? Kau larat lagi ke? Penat betul kau aku tengok. Muka pun dah merah-merah,” ujar Simon. “ Larat lagi ni,” dia membalas kata-kata Simon. “Baiklah,” Simon menjawab lalu menghulurkan tangannya. Dia menyambut tangan Simon dan segera angkat. Kemudian, keduanya saling membuka baju dan meletakkannya di tepi. Gelagat mereka berdua menarik perhatian pengunjung taman tasik itu. Tidak lupa juga kepada dua orang gadis yang sedang lalu di hadapan mereka. “Wow...kau lihat tu,” kata salah seorang daripada gadis itu. Rakannya tersenyum dan kemudian tertawa kecil. “Mantapnya,” kata gadis itu lagi. Susuk tubuh Simon memang tegap dan cantik.Terutama pada bahagian perutnya yang berketul. Sifar lemak di situ. Dia pula sedikit kurus namun susuk tubuhnya masih menampakkan dirinya sebagai seorang petinju. Walaupun seakan menyedari diperhatikan oleh orang di sekeliling, mereka berdua tetap meneruskan latihan. Berlatih di luar, dengan udara petang yang menghembus lembut sememangnya memberikan pengalaman latihan yang berbeda. Lebih nyaman dan tenteram berbanding di dalam gim yang tertutup. Ini secara tidak langsung memberi kesan yang positif terhadap emosi petinju. Petang itu,mereka berlatih teknik tinju yang biasa dilakukan seperti tumbuk lurus (jab), tumbuk sauk (uppercut), dan tumbuk cangkuk (hook). “Ada caranya untuk memperkeras tinju atau pukulan. Semuanya dapat diperoleh dengan latihan yang rutin. Memiliki tinju atau pukulan yang keras tentunya akan meningkatkan kepercayaan diri kita saat hendak melakukan sparing.Kita akan yakin kalau lawan yang kita pukul akan terjatuh hanya dengan melakukan beberapa pukulan saja, tapi harus memiliki ketepatan target yang bagus dalam melakukan pukulan,” kata Simon. “Jadi, apa caranya?” dia bertanya.. “Macam yang kau biasa lakukan, ‘Push Up’. Lagi satu, memukul dinding,” kata Simon lagi. “Memukul dinding?”dia bertanya lagi. “ Ya, tapi bukan seperti hendak memukul orang. Hati-hati, boleh cedera tangan dibuatnya. Lakukan dengan perlahan-lahan tapi lakukan sampai berulang kali. Jangan terlalu perlahan juga, kau dapat mengatur kekuatannya sesuai kemampuan,” jelas Simon lagi. “Terima kasih, Simon. Kau banyak ajar aku,” dia berkata. “Alah, hal kecil itu.” kata Simon. Sesaat, Simon memandang mentari yang hampir melabuhkan tirai. “Eh, dah lewat ni, hari pun dah semakin gelap. Jom, kita balik,” ajak Simon. Dia mengangguk perlahan, dan keduanya mula berjalan pulang dari taman tasik itu. Sepanjang perjalanan pulang itu, dia berfikir sesuatu. Dalam diam, dia amat mengagumi lelaki bernama Simon. Simon yang sentiasa memberi tunjuk ajar kepada dia. Dia, dia yang bernama Ronny Mark.
Bersambung Fragmen 10. Nantikan sambungannya...

Kristina... Fragmen 10.
Kristina melihat jam di pergelangan tangannya. Waktu sudah menunjukkan pukul 3.00 petang. Keadaan di dalam bilik kelas agak riuh. Namun begitu, agak terjaga. Tiada murid yang berjalan ke sana dan ke mari. Tetap juga mereka mengusik sesama sendiri. Hari ini perjumpaan Kelab Fotografi. Ramai juga yang datang, terutama ahli baru dari Tingkatan 1. Tidak lama, satu susuk tubuh masuk ke dalam kelas. Lelaki itu mengepit fail di tangannya. Dialah cikgu Stephen, guru penasihat Kelab Fotografi. Selain itu, dia juga membawa sebuah beg. Sejurus selepas Cikgu Stephen masuk ke dalam kelas, semua pelajar berdiri dan mengucapkan selamat petang. “Selamat petang, cikgu,” kata mereka. “Ya, selamat petang semua. Sila duduk,” jawab Cikgu Stephen.Kristina dan pelajar lain kemudiannya duduk. Cikgu Stephen melihat sekeliling. Ramai juga yang datang, fikirnya dalam hati. “Baiklah, cikgu ucapkan terima kasih kepada semua pelajar kerana ramai juga yang hadir hari ini. Dan cikgu harap ianya akan berterusan. Nama saya Cikgu Stephen. Mungkin tidak asing lagi bagi kamu di sini, tapi mungkin baru bagi adik-adik kamu di Tingkatan 1. Cikgu selaku guru penasihat untuk Kelab Fotografi. Dan ini, cikgu perkenalkan kamu kepada Kristina, pengerusi Kelab Fotografi,” Cikgu Stephen memperkenalkan pelajar lain kepada Kristina. Kristina berdiri dan memperkenalkan diri. “Hai, nama saya Kristina. Saya gembira awak semua memilih Kelab Fotografi. Harap kita dapat bekerjasama,” kata Kristina. Raut wajah Kristina yang menawan itu menarik perhatian ahli baru. Mereka tersenyum. Ada juga yang tertawa. Barangkali tujuan mereka memasuki Kelab Fotografi adalah kerana ingin bersua dan dekat dengan Kristina. “Baiklah Kristina, awak boleh duduk,”kata Cikgu Stephen. Kristina duduk semula. Cikgu Stephen mengeluarkan sesuatu dari dalam beg. Ianya adalah sebuah kamera. Kamera itu menarik perhatian pelajar baru. Bagi pelajar lama, mungkin mereka sudah biasa, namun hati tertarik juga. “Kristina, boleh awak datang ke depan dan bantu saya terangkan tentang kamera ini?” kata Cikgu Stephen. “Ya, boleh Cikgu,” Kristina bingkas dari tempat duduknya dan segera tampil ke depan. Cikgu Stephen menyerahkan kamera itu kepada Kristina. Kristina menyambut kamera itu. Kemudian, dia membelek-belek kamera itu. Dia memandang sekeliling. “Yang lain diam, dengar penerangan daripada Kristina. Kristina, teruskan,” kata Cikgu Stephen. Tidak lama, Kristina pun memberi penerangannya. “Ini adalah kamera DSLR Canon EOS 70D.Ia memiliki spesifikasi dan fitur yang sangat kompleks, dengan rekaan badan yang padat dan kukuh serta grip yang nyaman. Ia memberikan kenyamanan ketika digenggam. Kamera ini dilengkapi dengan Layar LCD variangel yang dapat diputar hingga 360 darjah sebesar tiga inci. Kamera ini juga dibekalkan dengan Prosessor Gambar DIGIC 5+ dan menggunakan sensor CMOS 22.5mm x 15.0mm, sehingga mampu menghasilkan gambar dan video dengan kualiti yang mengagumkan.Boleh saya cuba ambil gambar, Cikgu?” tanya Kristina kepada Cikgu Stephen. “Ya, silakan,” jawab Cikgu Stephen. Kristina kemudiannya menunjuk cara bagaimana menggunakan kamera DSLR Canon EOS 70D. Dia mengambil beberapa keping gambar. Perlakuan Kristina menarik perhatian ahli baru. Mereka tertarik dengan penerangan Kristina yang jelas dan lancar. Di samping itu, Kristina juga ada menunjuk cara q menggunakan kamera. Di akhir perjumpaan, Cikgu Stephen membuat sedikit pengumuman. “Baiklah, pertandingan fotografi akan bermula dua minggu dari sekarang. Diharap ahli kelab . membuat persediaan dan perancangan. Boleh dapatkan . pertandingan daripada Kristina. Tiga pemenang akan mewakili pertandingan fotografi peringkat bahagian,” jelas Cikgu Stephen. Semua pelajar berpandangan sesama sendiri. Bagi mereka, inilah peluang untuk mencuba nasib di samping mengasah bakat. Kristina mengalihkan pandangannya kepada Cikgu Stephen. Dia dapat melihat kesungguhan di wajah guru muda itu. Dan, Kristina pun tersenyum.
Bersambung fragmen 11

P/s : momen adalah fragmen kenangan yang terpelihara selamanya...
Gadis dalam lukisan : Kristina Diamond. Sewaktu di sekolah menengah,Tingkatan 5.
Gambar : Google Images.

Cerita Kristina akan dibukukan.

Credit :Untuk Mencintaimu (Seventeen)

Arianna (Fragmen Terakhir)


Am Nass, Zelda Arianna dan Sister Isabel
Arianna (Fragmen Terakhir) 
Pertemuan di antara Zelda Arianna dengan Sister Isabel.
Tempat pertemuan : St Joseph’s Cathedral, Kuching, Sarawak.

Misa Hari Minggu baru sahaja berakhir. Para pengunjung sudah mula meninggalkan gereja.Keadaan di St Joseph’s Cathedral kemudiannya mulai melengang.Namun masih ada ahli gereja yang berbual sesama mereka. Di suatu sudut, kelihatan seorang gadis masih lagi duduk di bangku. Dia memakai dress berwarna putih. Tangannya memegang sebuah Alkitab dan seutas rantai rosari kayu berwarna coklat yang dibelinya dari Gereja Mary Magdalene di Jerusalem, ketika lawatan gereja tidak lama dahulu.Entah kenapa, dia berasa masih berat hati untuk meninggalkan rumah Tuhan sedangkan ramai yang sudah mula beredar.Di suatu sudut pula, kelihatan seorang Sister sedang berbual dengan Father Jerome, iaitu paderi yang bertugas pada hari itu. Dari raut wajahnya, kelihatan Sister itu seperti berdarah campuran.Riak wajahnya seperti ingin mencari seseorang. Tangannya memegang sebuah kotak kayu bersegi empat tepat yang tidak begitu besar saiznya. Tidak lama, keduanya melangkah dengan agak laju menuju ke arah gadis itu yang masih duduk di bangku. Kehadiran Father Jerome dan Sister itu tidak dirasai oleh gadis itu kerana dia masih lagi menunduk.Father Jerome kemudiannya menegur gadis itu dengan perlahan. “Arianna,”kata Father Jerome.Gadis itu agak terkejut dengan sapaan Father Jerome.Gadis itu mendongakkan kepalanya.Dia kemudiannya melihat Father Jerome dengan seorang Sister.Sister itu menarik perhatian gadis itu kerana wajahnya seperti tidak pernah kelihatan sebelum ini.Agak baru dan asing.
“Maafkan, saya.Saya mengelamun tadi,”kata gadis itu. “Tidak mengapa.Arianna, ini saya kenalkan Sister Isabel dari St Mark’s Basilica. Sister Isabel ni dari Venice,Itali.Dia datang ke gereja ni kerana hendak berjumpa dengan Arianna,” kata Father Jerome. Sister Isabel kemudian menghulurkan tangannya. “Saya Sister Isabel,”Sister Isabel memperkenalkan dirinya. Gadis itu menyambut tangan Sister Isabel. “ Saya Arianna,”kata gadis itu. Keduanya bersalaman. “Baiklah, nampaknya awak berdua sudah mengenali satu sama lain.Kalau begitu,saya minta diri dulu.Mungkin ada yang ingin awak berdua bualkan,” kata Father Jerome. “Terima kasih, Father Jerome,”kata Sister Isabel. Father Jerome mengangguk dan tersenyum. Dia kemudiannya melangkah pergi dengan perlahan. Sister Isabel memandang wajah Arianna. Arianna juga begitu.Keduanya saling berpandangan. Arianna masih lagi tertanya-tanya dengan kehadiran Sister Isabel di sisinya. Tidak lama, Sister Isabel bersuara. “Arianna, maaf kalau kedatangan saya ini mengganggu Arianna. Saya cuma nak serahkan sesuatu kepada Arianna.Ianya pemberian seseorang,”jelas Sister Isabel.Sister Isabel kemudiannya memberikan kotak kayu bersegi empat tepat itu kepada Arianna. Jemari Arianna menyambut kotak kayu itu.Lama juga dia membelek kotak kayu itu. “Bukalah,” kata Sister Isabel. Arianna kemudian membuka kotak itu dengan perlahan. Setelah dibuka, kelihatan sepucuk surat berwarna biru yang terlipat kemas.Di bawah surat itu terdapat sebuah buku.Di dalam kotak kayu itu terdapat juga haruman. Haruman itu amat wangi setelah kotak itu dibuka.Arianna mengambil surat itu. Membuka lipatannya dan kemudian membacanya.Matanya menyorot ke setiap patah kata yang tertulis dalam surat itu.
Arianna, apa khabar? Saya harap awak sihat-sihat sahaja di sana. Arianna, sedang awak membaca warkah ini, saya sudah tiada lagi di dunia ini. Maaf Arianna, kerana saya lama tidak mengirimkan khabar berita buat awak.Tanpa surat.Tanpa panggilan.Dan akaun Facebook juga ditutup.Nampaknya, ia seperti memutuskan hubungan, kan? Namun, ia tidak begitu Arianna. Selama beberapa tahun menghilangkan diri ini saya sebenarnya sedang bertarung dengan penyakit saya.Saya tidak mahu awak tahu tentang keadaan diri saya. Saya tidak mahu kelihatan lemah di mata awak, Arianna. Dalam kesakitan itu, saya mengingat kembali bagaimana kita berkenalan. Ianya bermula dengan sahabat pena, sehinggalah kepada pertemuan pertama dan terakhir kita di Ristorante La Sponda, Posinato, Itali.Ia adalah pertemuan yang tidak terlupakan, Arianna. Saya masih ingat lagi bagaimana awak menceritakan pengalaman melayan kerenah seorang murid sindrom down bernama Madison.Kesabaran awak terhadap Madison telah membuka ruang kemesraan awak dengannya.Pada mulanya, Madison tidak menggemari awak, sehinggalah awak mereka satu boneka tangan dan bercerita di depannya. Saat awak mulai rapat dengannya dan kemesraan itu mulai bertaut, Madison telah pergi meninggalkan awak dalam satu nahas jalan raya. Awak menceritakan kepada saya yang awak menangis semalaman.Awak seperti tidak dapat menerima hakikat kehilangan Madison.Arianna, awak tahu tak maksud nama Madison? Ia bermaksud pemberian Tuhan. Tuhan telah menganugerahkannya ke dunia ini. Walaupun lahir begitu, dia tetap disayangi oleh kedua ibu bapanya. Dan kemudian dia mengenali awak. Walaupun singkat, ianya cukup bermakna buat dia, Arianna. Awak memilih menjadi seorang guru dan menceburi bidang pendidikan khas ini kerana awak ingin mengenali kanak-kanak ini dengan lebih rapat.Rasa empati awak sangat tinggi dan awak sentiasa meletakkan diri awak dalam situasi mereka.Itu bagus, Arianna. Cuma awak perlu ingat bahawa tugas kita hanya meletakkan asas pendidikan kepada kanak-kanak ini agar mereka boleh bersaing dan meneruskan kelangsungan hidup dalam dunia yang amat mencabar kelak. Arianna, bersama dengan surat ini saya sertakan sekali sebuah novel yang saya telah tulis selama dua tahun ini. Dalam kesakitan, saya gagahi juga untuk menyiapkannya.Nasib baik, ia telah sempat siap dan selamat diterbitkan. Saya namakannya Arianna, Empat Musim Di Hatiku ( Arianna,The Four Seasons of My Heart). Saya dedikasikan novel ini buat awak sebagai tanda persahabatan. Arianna, terima kasih kerana sudi berkenalan dan menjadi sahabat saya. Sebenarnya, ada lagi Arianna.Kesungguhan awak membantu kanak-kanak kurang upaya ini telah menginsafkan saya betapa mereka ini memerlukan seseorang untuk menyandarkan harapan. Dengan itu, semua harta saya dan juga wang hasil jualan serta royalti buku saya selama ini termasuk novel Arianna, Empat Musim Di Hatiku telah saya wasiatkan kepada awak Arianna. Dan dana itu akan digunakan untuk menubuhkan satu yayasan untuk membantu kanak-kanak kurang upaya dan bekeperluan khas ini.Yayasan itu akan ditubuhkan di Malaysia dan saya ingin awak menguruskannya. Anggaplah ianya hadiah terakhir daripada saya, Arianna. Saya berharap agar awak menerimanya. Segala urusan berkaitannya akan diaturkan oleh peguam saya Giovanni Francesco. Dia akan berhubung dengan awak.Rasanya, itu sahaja daripada saya, Arianna. Saya berharap yayasan ini akan menjadi kenyataan.Dan, awak bacalah novel itu, iya? Terima kasih, Arianna.Teruslah berusaha. 
Sahabatmu,
Am Nass.
Saat habis membaca warkah itu, Arianna menutup mulutnya. Matanya mula genang berkaca.Mutiara jernih yang bergenang di kelopak mata itu mula merembes. Sister Isabel menyentuh bahu Arianna, seperti ingin menenangkan gadis itu. “Di mana dia Sister Isabel?” tanya Arianna dengan rasa yang tertahan. “ Di San Michele Cemetery Island, Venice.Tiket penerbangan sudah disediakan.Kita akan ke sana,” jawab Sister Isabel dengan nada yang sayu. Arianna tidak dapat menahan lagi kesedihannya. Dia kemudiannya memeluk Sister Isabel dengan erat dan terus menangis semahunya. Sister Isabel membalas pelukan Arianna.Matanya juga genang berkaca.Nyata, dia juga tidak mampu menahan kesedihan itu.Dan suasana di gereja itu semakin sunyi. Sesunyi hati Arianna.Namun, Tuhan tetap merahmati.Amen.
Tamat.

Arianna (Momen Istimewa) Fragmen 1 dan 2

Zelda Arianna dan Am Nass

Arianna (Momen Istimewa) Fragmen 1
Pertemuan di antara Zelda Arianna dengan Am Nass
Tempat pertemuan: Ristorante La Sponda, Posinato, Itali
Am Nass melirik jam Patek Philippe di pergelangan tangan kirinya.Jarum jam menunjukkan waktu pukul 7.45 malam. Tidak lama, dia kembali membuka diari Smythson Soho yang berwarna biru.Jemarinya mengeluarkan sebatang pen jenama Pilot Custom 823 yang diselitkan di dalam diari.Kemudian, dia mula menulis beberapa bait puisi.Sudah lama dia tidak menulis puisi.Entah mengapa, kali ini ringan pula tangannya mendansakan pena di diarinya.Diari yang sering menjadi peneman setianya.Suasana di dalam Ristorante La Sponda cukup indah sekali.Lebih kurang 400 batang lilin menghiasi ruang meja makan di situ.Am Nass sedang menunggu seseorang.Seseorang yang selama ini ingin bertemu dengannya.Beberapa orang pelanggan sedang mula memenuhi ruang Ristorante La Sponda dan mengambil tempat duduk. Mereka didekati beberapa orang pelayan.Tidak lama, seorang pelayan membuka pintu restoran dengan perlahan. “Selamat malam, Cik.Selamat datang ke Ristorante La Sponda,”kata pelayan kepada gadis itu. “Terima kasih,”gadis itu menjawab lembut.Dia memasuki ruang restoran.Sesorang lagi pelayan yang berhampiran mula mendapatkan gadis itu dan mendekatinya. “Cik Zelda Arianna?”tanya pelayan itu.”Ya, saya,”jawab gadis itu lagi. “Encik Am Nass sudah menunggu di hujung sana.Mari ikut saya, Cik,” pelayan itu mempelawa gadis itu sambil jemarinya menunjukkan meja makan tempat Am Nass menunggu. Gadis dan pelayan itu berjalan beriringan. Dari jauh, kelihatan seorang lelaki masih menulis pada diari birunya.Semakin lama, gadis dan pelayan menghampiri lelaki itu.Kedengaran bunyi derap kaki menuju ke arahnya. Bunyi itu menarik perhatiannya.Seketika, bunyi derap kaki itu terhenti.Dia berhenti menulis dan mendongak.Dia amat tersentak.Di hadapannya,berdiri seorang gadis yang amat cantik sekali.Gadis itu memakai gaun merah terang.Rambutnya dihias dirapikan dengan jepit rambut pita renda.Matanya hijau bersinar dan dagunya belah.Di bahunya tergantung tas tangan. “Encik Am Nass, ini Cik Zelda Arianna,” kata pelayan itu. “Oh, ya.Maafkan saya,” Am Nass menutup semula diari dan menyelitkan pen dalam diarinya.Am Nass kemudiannya berdiri.Sedang pelayan itu ingin menarik kerusi, Am Nass menghalangnya. “Tidak mengapa, biar saya aturkan.Terima kasih, iya,” kata Am Nass.Pelayan itu tersenyum melihat gelagat Am Nass.Am Nass menarik kerusi dengan perlahan, kemudian mempelawa Arianna untuk duduk. Arianna melabuhkan punggungnya di kerusi sambil mengatur gaunnya.Kemudian, Am Nass mengambil tempat duduknya semula. “Ya, Encik Am Nass.Boleh saya ambil pesanan sekarang?” tanya pelayan itu. “Saya hendak hidangan istimewa malam ini. Chef’s Tasting Menu dengan Poderi Aldo Conterno Wines,”kata Am Nass. “Ya, Encik.Terima kasih,hidangan akan tiba sebentar lagi.Saya minta diri dulu,”kata pelayan itu.Am Nass memandang pelayan itu.Dia mengangguk dan tersenyum.Pelayan itu kemudiannya beredar dan menuju ke dapur, meninggalkan Am Nass dan Arianna.Am Nass dan Arianna saling berpandangan.Suasana senyap seketika. “Apa khabar, Arianna?” tanya Am Nass. “Khabar baik,Am,” jawab Zelda Arianna dengan lembut. “Awak sangat cantik malam ini, Arianna.Gaun merah gelap ini sesuai dengan awak,”kata Am Nass. “Awak juga, Am.Cantik tuxedo awak.Prada?” Tanya Arianna. “Ya, Prada,” jawab Am Nass. Selang beberapa minit, seorang pelayan datang kembali dengan membawa sebotol wain putih Poderi Aldo Conterno sambil menatang dulang gelas.Pelayan itu kemudiannya membuka botol wain putih itu dan menuangkannya ke dalam gelas. “Terima kasih,” kata Am Nass.Pelayan itu tersenyum dan masih berdiri di situ.Mengambil tempat di tepi. “Arianna,”kata Am Nass. Dia menatang gelas wain putih itu.Menggoncangnya sedikit dan kemudian mendekatkannya ke hidung.Menikmati aroma dan baunya.Arianna menuruti perbuatan Am Nass.Keduanya saling tersenyum dan kemudian meminum wain putih itu.
Bersambung…

Arianna (Momen Istimewa) Fragmen 2
Pertemuan di antara Zelda Arianna dengan Am Nass 
Tempat pertemuan: Ristorante La Sponda, Posinato, Itali.
Arianna dan Am Nass selesai menikmati hidangan paling istimewa malam itu iaitu ‘Linguine with Clams’.Hidangan terdahulunya adalah seperti ‘Sardines poached in Olive Oil’,’Pickled Mackerel’, dan ‘Peach Soup with Langoustine’.Hidangan klasik Itali ini nyata menyelerakan.Ianya diakhiri dengan ‘Chocolate and Plum Pudding’ sebagai pencuci mulut.Tidak kurang dengan itu, Chef Ristorante La Sponda, iaitu Chef Matteo Temperini telah keluar untuk berjumpa dengan Arianna dan Am Nass di meja makan untuk meminta pandangan tentang hidangan malam itu. “Ya, Cik Arianna,Encik Am Nass.Bagaimana dengan hidangan malam ini?Memuaskan?”tanyanya dengan penuh harapan. “Hidangan yang amat hebat sekali,Chef Matteo Temperini,”kata Am Nass sambil menunjuk isyarat bagus kepada Chef Matteo Temperini.Perlakuan Am Nass itu menarik hati Arianna. Arianna tersenyum melihat gelagat Am Nass. Arianna akhirnya tertawa kecil.Agak melucukan, fikir Arianna. “Ya, terima kasih Cik Arianna,Encik Am Nass.Oh ya, saya minta diri dulu.Teruskan menikmati hidangan,”kata Chef Matteo Temperini.Dia kemudiannya beredar menuju ke dapur semula. Tidak lama, dua orang lelaki yang membawa gitar menghampiri Arianna dan Am Nass.Mereka adalah Franco dan Andrea, pemuzik pada malam itu.Mereka berdua tersenyum kepada Arianna dan Am Nass.”Izinkan kami,”kata keduanya lalu memetik gitar dan kemudian menyanyikan sebuah lagu terkenal di Itali iaitu ‘That’s Amore' oleh Dean Martin.Tidak berapa lama, ketua pelayan Ristorante La Sponda datang dan mendekati Arianna dan Am Nass.Dia membawa satu bekas bersama dengannya. Ketua pelayan itu mendekatkan dirinya dengan Arianna.Dia kemudiannya memandang Am Nass.Am Nass mengangguk sambil tersenyum.Ketua pelayan itu kemudiannya membuka bekas itu dengan perlahan.Setelah dibuka, terpamerlah seutas rantai leher berlian Tiffany Infinity dari Tiffany & Co.Rantai leher berlian itu memancarkan kilaunya.Am Nass bangun dari tempat duduknya.Dia mendapatkan rantai leher berlian itu.Jemarinya dengan perlahan mengambil dan menatang rantai leher berlian itu. “Izinkan saya,Arianna,”kata Am Nass. Arianna yang masih terkejut hanya mampu mengangguk perlahan.Jemarinya menutup mulutnya.Seakan dia tidak mahu menampakkan dirinya yang teruja.Am Nass membuka perlahan ikatan rantai leher berlian itu dan kemudiannya memakaikannya ke leher Arianna.Sesudah memakaikan rantai leher berlian itu, Am Nass memandang Arianna. “Cantik,Arianna.Sesuai dengan awak,”kata Am Nass. Arianna menunduk dan memandang rantai leher berlian itu.Jemarinya membelek rantai leher berlian itu. “Terima kasih,Am,” kata Arianna dengan nada lembut. “Sama-sama,Arianna”jawab Am Nass.Am Nass kemudiannya duduk di kerusinya semula. “Am,tunggu dulu.Saya juga ada sesuatu untuk awak,”kata Arianna. Arianna membuka tas tangannya.Dia mengeluarkan satu bekas kecil bersegi empat. “Untuk awak,Am,” kata Arianna sambil jemarinya memberi bekas kecil bersegi empat itu kepada Am Nass. “Apa ini,Arianna?”tanya Am Nass.Jemarinya menyambut bekas kecil bersegi empat itu daripada Arianna. “Bukalah,Am,”kata Arianna. Am Nass membuka bekas kecil bersegi empat itu dengan perlahan.Sesaat, Am Nass berasa amat terkejut dengan apa yang dilihatnya. “Wow,Deakin & Francis Sapphire Dumbbell Cufflinks!?” kata Am Nass. Arianna mengangguk dan tersenyum. “Mahal ini, Arianna.Betul ini untuk saya?”tanya Am Nass. “Ya, untuk awak,” jawab Arianna. “Terima kasih, Arianna.Saya amat menghargainya,”kata Am Nass lagi. “Kasih diterima,” kata Arianna. “Perhatian kepada semua pelanggan Ristorante La Sponda.Malam ini kita ada pelanggan istimewa iaitu Encik Am Nass dan Cik Zelda Arianna.Oh ya, lebih daripada itu Cik Arianna akan menghiburkan kita malam ini.Silakan Cik Arianna,” kata seorang pengacara majlis yang berada di pentas.Semua pelanggan Ristorante La Sponda memberi tepukan sambil memerhati sekeliling. “Mari, Am.Menyanyi bersama dengan saya,”ajak Arianna.Am Nass terpinga.Dia tidak menyangka ada lagi kejutan lain daripada Arianna untuknya.Hajatnya, dia yang ingin membuat kejutan buat Arianna.Kini lain pula jadinya.Arianna menghulurkan tangannya.Am Nass menyambut tangan Shan.Mereka berdua beriringan ke pentas. Di pentas terdapat sebuah piano Fazioli. Shan mendekati piano Fazioli dan duduk di kerusinya.Am Nass berdiri di tepi Arianna.Tidak lama,jemari Arianna dengan perlahan mengetuk kekunci hitam putih piano Fazioli.Memainkan sebuah lagu yang amat diminatinya.Seluruh ruang Ristorante La Sponda sunyi sepi.Menumpukan sepenuh perhatian kepada Arianna.Yang kedengaran hanyalah bunyi alunan piano.Kemudian, Arianna menyanyikan rangkap pertama dan kedua lagu itu. “ It’s amazing how you, can speak right to my heart.Without saying a word, you can light up the dark.Try as I may, I could never explain.What I hear when you don’t say a thing,” Arianna memandang Am Nass dan kemudian mengangguk perlahan.Seakan memberi isyarat kepada Am Nass. “The smile on your face,lets me know that you need me.There’s a truth in your eyes, saying you’ll never leave me.The touch of your hand says you’ll catch me wherever I fall.You say it best when you say nothing at all,”nyanyi Am Nass.Dan, pertemuan Zelda Arianna dengan Am Nass malam itu penuh dengan kegembiraan dan pengharapan.Adakah saat itu akan berpanjangan atau terhenti di situ sahaja? Nantikan Fragmen Terakhir Arianna.
Gambar Hiasan : Google Images
*Cerita ini adalah rekaan dan fiksyen.Sebarang persamaan dengan realiti adalah kebetulan.
Link video muzik :

Mandy(2018) Buku Manuskrip


Ini buku manuskrip untuk karya saya Mandy pada tahun 2018.Segala idea akan dimuatkan dalam buku ini.Puisi, catatan ringkas dan gambar.Amanda ialah seorang pesakit leukemia tahap akhir yang meminati bidang fotografi.Dalam buku manuskrip ini akan terhimpun segala rasa dan impian Amanda.
"Tak ada yang sia-sia terjadi di dunia ini. Sehelai rambutku pun takkan jatuh kalau bukan Engkau yang mengizinkan. Begitu pula dengan sakit ini. Kuyakin Kau punya rencana besar di atasnya."
~Amanda Sweetheart( Mandy)

Saturday, December 30, 2017

Mandy (2018) Pengenalan

Am Nass dan Giovanni Francesco
Mandy(2018)
Kisah seorang gadis yang bernama Amanda Sweetheart yang meminati semua karya dan buku seorang penulis dan penyair iaitu Am Nass.Amanda ialah seorang gadis periang yang meminati bidang fotografi.Malangnya, gadis ini ialah penghidap leukemia peringkat terakhir.Amanda ialah seorang pejuang dan dia tidak pernah berputus asa. Dia mempunyai sebuah impian terakhir iaitu memiliki sebuah buku dan dia berharap penulis Am Nass dapat menggunakan foto yang diambilnya untuk digabungkan bersama dengan puisi yang dikarang oleh Am Nass untuk dimuatkan dalam sebuah buku puisi fotografi.Namun, hasratnya pada mulanya tidak diketahui oleh penulis itu.Bagaimanakah Amanda yang berada di Malaysia dapat memenuhi impiannya? Dapatkah Am Nass yang berada di Venice, Itali memenuhi hasrat terakhir Amanda melalui bantuan Giovanni Francesco iaitu peguam dan pembantu peribadinya?Nantikan kisah Mandy (2018) esok...